On 8th October 2010, Mat Zain bin Ibrahim wrote a
20-page open letter that blows the lid on many issues. You have to read this
letter to believe it. The contents puts to rest any doubts you may have on
what Malaysia Today has revealed over these last six years. It
also fingers the AG and recently retired IGP. This revelation is astounding by
any standards and in any other country this would be enough to force the
government to resign.
THE CORRIDORS OF POWER
Raja Petra Kamarudin
SURAT TERBUKA
Kepada,
Yang Berbahgia Datin Kalsom Taib,
43 Persiaran Burhanuddin Helmi,
Taman Tun Dr.Ismail,
60000 Kuala Lumpur,
Malaysia.
YBhg Datin,
THE SHAFEE YAHAYA STORY – Estate Boy To ACA Chief.
Dengan penuh hurmat takzim,saya menjemput Datin merujuk
kepada buku hasil penulisan Datin bertajuk diatas (selepas daripada ini akan
dirujuk sebagai Buku Tersebut) yang telah dilancarkan pada akhir
July 2010 khususnya Bab 11,12 dan 13. Sebagai pembuka kata saya menyusun
sepuloh jari menuntut ampun dan maaf kepada Datin dan YBhg. Dato Shafee Yahaya
serta keluarga sekiranya dalam surat terbuka ini kelak, terdapat kata-kata saya
ataupun fakta dan keterangan yang saya bentangkan yang menyinggung perasaan
Datin serta keluarga. Saya berharap Datin akan menerima penerangan saya ini
dengan perasaan terbuka.
2. Nama saya Mat Zain bin Ibrahim seorang pesara Pegawai
Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berpangkat Senior Asisten Kommisioner II
(SAC II) G/5776. Jawatan akhir saya ialah sebagai Ketua Jabatan Siasatan
Jenayah (KJSJ) Kuala Lumpur yang saya sandang sejak Disember 1998
sehingga bersara pilihan sendiri pada akhir 2001. Saya lebih
dikenali sebagai Ketua Pegawai Penyiasat kes “Mata-Lebam” satu
insiden bersejarah dimana bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato Seri
Anwar Ibrahim (DSAI) dibelasah oleh Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul
Rahim Noor (kes yang akan turut saya sentuh dalam Surat Terbuka ini kerana
kaitannya dengan penulisan Datin dalam Buku Tersebut).
3. Mungkin tidak ramai yang perasan, (termasuk
Pegawai-Pegawai Kanan PDRM yang sedang berkhidmat mahupun yang seangkatan
dengan saya dan telah bersara) bahawa ketika bertugas sebagai KJSJ Kuala Lumpur
saya juga merupakan Ketua Pegawai Penyiasat yang menyelia dan menangani kes
dakwaan salah guna kuasa terhadap YAB Perdana Menteri Malaysia ketika itu, YAB
Dato Seri Dr.Mahathir Mohamed (Tun Mahathir) yang terbit daripada pendedahan
yang dibuat oleh Dato Shafee Yahaya ketika memberi keterangannya di Mahkamah
Tinggi (Civil) Kuala Lumpur, pada 12 Jun 2000.Saya akan dedahkan apa yang
sebenarnya berlaku dan apa yang Polis temui dalam penyiasatan kes ini dalam perenggan-perenggan
yang akan menyusul nanti.
3.1. Untuk makluman Datin, selain daripada dua kes berprofil
tinggi yang saya sebutkan diatas,saya juga adalah Ketua Pegawai Penyiasat yang
menyelia dan menangani kesemua empat (4) laporan Polis yang dibuat oleh DSAI
diantara 9 July 1999 hingga 20 Ogos 1999 ( ketika DSAI dalam penjara Sungai
Buloh) berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan menghalang proses undang-undang
terhadap Tun Mahathir, Tan Sri Mohtar Abdullah (Allahyarham) Peguam Negara
ketika itu, dan Dato Abdul Gani Patail (kini Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam
Negara). Laporan-laporan yang dibuat oleh DSAI ini adalah bersangkutan dengan
penyiasatan dakwaan penyelewengan dan kesalahan rasuah melibatkan Tun Daim
Zainuddin,Datuk Seri Rafidah Aziz (kini Tan Sri Rafidah),Tan Sri Abdul Rahim
Thamby Chik dan Tan Sri Eric Chia (mendiang).
PELANCARAN BUKU TERSEBUT.
4. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
setinggi-tinggi tahniah kepada Datin yang berjaya menghasilkan suatu
percetakan berkualiti tinggi Buku Tersebut. Sebenarnya saya telah
mengetahui mengenai pelancaran Buku Tersebut menerusi laman blog Din Merican
pada 26 July 2010. Namun saya hanya berkesempatan membelinya di-Bookstore MPH,
The Great Eastern Mall, beberapa hari sebelum Eidul Fitri ketika sedang
menunggu waktu berbuka puasa bersama keluarga disalah sebuah restoran disitu.
Untuk makluman Datin, saya tidak pernah mengenali Din Merican walaupun beliau
sering menyebut nama saya dalam rencana-rencana beliau lebih-lebih lagi apabila
membuat liputan berkaitan perbicaraan kes Datuk Ramli Yusuff, bekas Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, dan juga seorang Peguam Rosli Dahlan.
Sepertimana juga saya tidak pernah menemui atau berkenalan dengan Datin dan
Dato Shafee Yahaya sendiri, saya juga tidak pernah kenal atau menemui Din
Merican ataupun Peguam Rosli Dahlan walaupun Datuk Ramli Yusuff adalah sahabat
saya yang saya kenali sejak dalam PDRM.
SURAT TERBUKA INI.
5. Saya berharap Datin terima bahawa saya tidak sekali-kali
berhasrat untuk mempertikaikan, jauh sekali untuk memperkecilkan sejarah hidup
Dato Shafee yang gemilang daripada seorang “Estate Boy to ACA Chief”. Tumpuan
saya adalah terhadap fakta-fakta yang terkandung dalam Bab 11,12 dan 13 Buku
Tersebut oleh kerana ianya berkaitan dengan saya secara peribadi. Sama ada
secara langsung ataupun menerusi pihak ketiga antaranya, Datuk Param
Cumaraswamy atau pun Kim Quek (sepertimana terkandung dalam muka surat 273
hingga 287), Datin telah meyoal “What happened to the probe on Dr. Mahathir?”.
Jika diselidik rekod PDRM berkaitan penyiasatan kes ini, ianya akan menjurus
kepada saya oleh kerana saya adalah KJSJ Kuala Lumpur ketika itu, yang
bertindak selaku Ketua Pegawai Penyiasat yang menyelia dan menangani kes
tersebut. Adalah tidak adil kepada PDRM khasnya sekiranya saya berdiam diri
kerana saya tahu perkara yang sebanarnya. Meminjam salah satu quotation yang
Datin gunakan dalam Buku Tersebut; ”And mix not truth with falsehood,n or
conceal the truth while you know (the truth)” Surah Al Baqarah 2:24. saya
akan berasa bersalah kepada PDRM dan juga kepada isteri dan anak-anak dan
cucu-cucu saya jika saya tidak tampil menjelaskan perkara sebenar.
Laporan kepada YDH DIG Tan Sri Ismail Hj.Omar, atas
sifat Timbalan Ketua Polis Negara (kini Ketua Polis Negara) dengan salinan
kepada YB Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri.
6. Sambil itu saya ingin Datin ketahui bahawa sebelum
terbitnya Buku Tersebut saya ada mengemukakan satu laporan bertarikh 6 hb.Mei
2010 atas tajuk “Dakwaan Pemalsuan Keterangan Dalam Siasatan Insiden
Mata-Lebam 1998 Berkaitan Kecederaan Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) Ketika
Dalam Tahanan Lokap Polis Bukit Aman:- Penyemakan Semula” yang
dialamatkan persendirian kepada YDH Tan Sri Ismail Omar ketika itu Timbalan
Ketua Polis Negara dengan salinannya dialamatkan persendirian kepada YB Dato
Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri. Tan Sri Ismail Omar telah
mengesahkan menerima surat saya berkenaan itu menerusi surat peribadi beliau
kepada saya bertarikh 21hb Mei 2010.
6.1. Secara kebetulan dalam laporan saya tersebut itu,
antara lainnya, saya telah menyentuh berkaitan penyiasatan terhadap Tun
Mahathir, yang terbit daripada pendedahan yang dibuat oleh Dato Shafee Yahaya.
Dalam Surat Terbuka ini, saya akan menyentuh sedikit sebanyak kandungan laporan
saya kepada Tan Sri Ismail Omar itu bilamana berkenaan.
Siasatan terhadap Tun Mahathir terbit daripada
pendedahan oleh Dato Shafee Yahaya.
7. Siasatan kes ini adalah bersandarkan laporan Polis Tun
H.S.Lee Rpt: 14752/2000 yang dibuat oleh DSAI pada 13.6.2000. Kes
diklasifikasikan dibawah Seksyen 2 Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat
1970. Perintah dibawah Seksyen 12 untuk menyiasat kes ini dikeluarkan oleh
Timbalan Kanan Pendakwa Raya Dato’ Mohd. Zaki bin Mat Yasin.
7.1. Dalam laporan Polis ini, DSAI telah mengaitkan
keterangan bersumpah Dato Shafee Yahaya yang dibuat diMahkamah Tinggi Kuala
Lumpur pada 12.6. 2000 yang membawa maksud bahawa Tun Mahathir telah
menyalahgunakan kuasa serta menghalang proses keadilan dengan mengarahkan Dato
Shafee Yahaya, ketika itu Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR),
menghentikan penyiasatan BPR terhadap Tan Sri Ali Abul Hassan bin Sulaiman yang
pada masa material itu, adalah Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan
Perdana Menteri.
7.2. Untuk makluman Datin selain daripada laporan yang
dibuat oleh DSAI, terdapat sejumlah 14 laporan-laporan Polis yang lain dibuat
antara 14.6.2000 hingga 22.7.2000. Terdapat laporan-laporan yang dibuat secara
individu dan ada juga laporan-laporan dimana pengadu mendakwa mewakili beberapa
ramai yang lain atau sesuatu kumpulan, malah ada yang menyertakan senarai nama
dan tandatangan mereka-mereka yang berkenaan. Hampir kesemua pengadu-pengadu
berkenaan dikenalpasti sebagai ahli biasa atau memegang sesuatu jawatan dalam
parti-parti politik pembangkang khasnya Parti Keadilan Nasional.
7.3. Antara mereka yang telah membuat laporan tersebut ialah
Hj. Mahfuz Hj. Omar, Chua Tian Chang @ Tian Chua, Saifuddin Nasution Hj.
Ismail, Mohamad Ezam bin Mohd Noor, Lokman Noor Adam, Rusalan Hj. Kassim,
Badarulamin bin Bahron dan lain-lain. Kesemua pengadu menggesa pihak Polis dan
Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap Tun Mahathir kerana telah
menyalahgunakan kuasa dan menghalang proses keadilan.
7.4. Pegawai Penyiasat yang telah saya arahkan untuk
merakamkan percakapan Dato Shafee dirumah Datin itu ialah Deputi Superintenden
Narenasegaran (Naren) (sudi rujuk muka surat 324 Buku Tersebut dibawah
tajuk “The aftermath”) (kini beliau berpangkat Asisten Kommisioner
Polis bertugas sebagai KJSJ Pahang). Untuk makluman Datin, pegawai ini ada
memaklumkan kepada saya betapa “simple dan humble serta peramahnya” Dato Shafee
dan Datin ketika beliau berkunjung kerumah Datin, untuk merakamkan sambungan
percakapan Dato Shafee atas arahan saya itu. Mengenai salinan percakapan Dato
Shafee pula, saya yang tidak membenarkan untuk diberi kepada Dato Shafee. Saya
percaya Dato Shafee sendiri tahu peruntukkan undang-undang dan peraturan
mengenai perkara membekalkan percakapan saksi.
7.5. Terus terang saya menyatakan bahawa saya sendiri yang
tidak berpuas hati dengan keterangan yang diberikan oleh Dato Shafee itu.
Malahan Dato Shafee sendiri yang menyatakan bahawa memang TIDAK ADA ARAHAN
SECARA LANGSUNG oleh Tun Mahathir untuk menutup atau menghentikan siasatan kes
berkenaan. Namun begitu Dato Shafee ada menyatakan bahawa setiap perjumpaan dan
teguran-teguran Tun Mahathir mengenainya, jika diambil secara keseluruhan akan
membawa maksud bahawa Tun Mahathir mengarahkan beliau (Dato Shafee) menutup
atau menghentikan penyiasatan terhadap Tan Sri Ali Abul. Dato Shafee
mengesahkan bahawa perjumpaan beliau dengan Tun Mahathir adalah “on a
one to one basis”. Oleh demikian tidak ada saksi bebas terhadap apa
yang sebenarnya transpired antara mereka berdua. Dalam situasi
ini, pembuktian dakwaan Dato Shafee akan bergantung kepada sejauh mana, atau
apa yang dirakamkan/dicatitkan oleh Dato Shafee sendiri dalam diari atau fail
berkaitan siasatan sabjek dalam persoalan.
“Rampasan” Kertas Siasatan BPR.
7.6. Memadai untuk saya menyatakan bahawa dalam kesungguhan
PDRM menyiasat kes ini, saya telah mendapatkan persetujuan dan kerjasama BPR
untuk menyerahkan 2 kertas siasatan untuk penelitian saya iaitu;
7.6.1. Kertas Siasatan HQ/BPR/KS:23/7/98-disiasat
oleh Penguasa BPR Abdul Halim Hj.Ibrahim (kemudian diambil alih siasatan oleh
Penguasa BPR Tan Kang Sai). Kes ini adalah berkaitan dakwaan pembabitan Tan Sri
Ali Abul Hassan dan seorang Dato (saya tidak menyebut namanya bagi mengelakkan
sebarang tanggapan khilaf terhadap dirinya) yang ada kepentingan sendiri,
projek pengswastaan Aktibiti Pemeriksaan Berkanun Jabatan Keselamatan dan
Kesihatan Pekerja.
7.6.2. Kertas Siastan HQ/BPR/KS:20/6/98-disiasat
oleh Encik Mohd. Jamidan bin Abdullah ketika itu Ketua Pentadbiran Siasatan BPR
Malaysia. Kes ini adalah berkaitan dengan penggeledahan pejabat Ketua Pengarah
UPE dimana RM100,000.00 dijumpai dalam laci Tan Sri Ali Abul Hassan.
7.7. Untuk makluman Datin, penelitian keatas kertas-kertas
siasatan ini saya buat adalah semata-mata untuk mencari bukti dan keterangan,
sama ada Dato Shafee ada membuat sebarang catitan atau arahan bertulis, yang
menjurus kearah kertas siasatan BPR terhadap Tan Sri Ali Abul ditutup atas
arahan Tun Mahathir. Saya perlukan bukti ini sebelum saya membuat janjitemu
untuk merakamkan percakapan Tun Mahathir sendiri dan bersemuka dengannya sekali
lagi, sepertimana pernah saya lakukan pada 8.10.1998 ketika menyiasat kes
“mata-lebam” (peristiwa mana yang akan saya sentuh dalam perenggan-perenggan
yang akan menyusul).
7.8. Sambil itu mungkin Datin boleh mendapatkan pengesahan
daripada Dato Shafee sendiri sepanjang beliau menjadi Ketua Pengarah BPR mulai
16.7.1994 sehingga 11.9.1998, berapa kali Pegawai Polis “merampas” kertas
siasatan BPR.
“Jikalau kail panjang sejengkal”.
7.9. Saya percaya Datin bolih menerima hakikat bahawa Tun
Mahathir bukan sembarangan orang. Apapun beliau adalah seorang Perdana Menteri,
ketika siasatan tersebut dibuka terhadapnya. Ini tidak bermakna Polis takut
merakamkan percakapan beliau. Saya sendiri pernah bersemuka dengan Tun Mahathir
pada 8.10.1998, “on a one to one basis” dalam suasana yang lebih “tense” lagi
ketika menyiasat kes mata-lebam tersebut. Sedikit pun saya tidak gentar kerana
saya berbekalkan fakta-fakta yang benar dalam tangan saya, walaupun pada ketika
itu saya sedar ada makhluk atau makhluk-makhluk yang telah cuba mempengaruhi
Tun Mahathir untuk percaya bahawa kecederaan DSAI adalah “self-inflicted”. Pada
perjumpaan itu saya telah jelaskan kepada Tun Mahathir apa yang sebenarnya
berlaku dan siapa yang “disyakki” melakukannnya oleh kerana siasatan masih
diperingkat awal ketika itu. Yang pentingnya saya telah ketepikan sebarang
tanggapan bahawa kecederaan DSAI tersebut disebabkan “self-inflicted” pada
pertemuan itu. Yang lebih pentingnya apa yang “transpired” dalam pertemuan itu
semuanya saya rakamkan dalam diari penyiasatan saya. Apa yang saya katakan
kepada Tun Mahathir dan apa yang beliau katakan dan nasihatkan kepada saya,
semuanya saya rakamkan. Malahan apabila Tun Mahathir sekadar menganggukkan
kepalanya tanda persetujuan kepada sesuatu cadangan saya pun telah
dirakamkan dalam diari tersebut yang kekal dalam kertas siasatan kes mata-lebam
sehingga hari ini. (Tidak keberatan untuk saya menyatakan bahawa ketika
Pegawai-Pegawai SPRM merakamkan percakapan saya dalam minggu pertama July 2008,
berkaitan laporan DSAI itu, beliau ada menyoal saya mengenai reaksi wajah Tun
Mahathir ketika saya menemuinya pada 8.10.1998 itu. Dengan mudah saya
merujukkan mereka kepada diari penyiasatan saya yang ada dihadapan Pegawai
perakam tersebut).
Berkaitan siasatan terhadap Tun Mahathir ini pula bagaimana
harus saya bersemuka dengan beliau jika saya tidak lengkapkan diri dahulu
dengan fakta-fakta dan bukti yang terperinci dan padat sebelum merakamkan
percakapan beliau yang masih seorang Perdana Menteri ketika itu. Seperti kata
pepatah “Jikalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diharungi”.
Alangkah mudah tugas Polis ketika itu jika Dato Shafee sendiri telah merakamkan
atau mencatitkan arahan yang tepat dalam kertas siasatan-kertas siasatan yang
berkaitan. Sebenarnya itulah yang saya harap untuk temui ketika saya meneliti 2
kertas siasatan BPR tersebut. Malahan Dato Shafee mempunyai masa yang begitu
banyak sejak 20.6.1998 hingga bersara pada 11.9.1998 untuk berbuat demikian dan
tidak melepaskan tanggung jawab tersebut kepada Pegawai-Pegawai selepasnya oleh
kerana Dato Shafee sendiri yang bersemuka dengan Tun Mahathir dalam isu ini dan
tiada orang lain.
7.10. Untuk faedah Datin,saya perturunkan sebahagian
daripada laporan saya bertarikh 9.11.2000 kepada Jabatan Peguam Negara
berkaitan kes ini;
“Ketua Bahagian Pendakwaan,
Jabatan Peguam Negara,
Bangunan Bank Rakyat,
Kuala Lumpur.
………….
Para 5: RUMUSAN.
Setelah meneliti serta menimbangkan keterangan-keterangan
yang terkumpul khasnya percakapan Dato Shafee Yahaya sendiri yang pada saya,
telah dirakamkan dengan terperinci serta juga penelitian terhadap dua Kertas
Siasatan BPR iaitu HQ/BPR/KS:23/7/98 dan HQ/BPR/KS:20/6/98 saya merumuskan kes
ini seperti berikut:-
5.1.Anggapan Dato Shafee bahawa Perdana Menteri Dato Seri
Dr. Mahathir Mohammad telah mengarahkan beliau untuk menutup kes siasatan
terhadap Tan Sri Ali Abul Hassan bekas Ketua Pengarah EPU, lebih merupakan
persepsi beliau sendiri. Tidak ada sebarang keterangan untuk menyokong persepsi
dan andaian oleh kerana Dato Shafee sendiri tidak ada membuat sebarang catitan
dalam mana-mana fail, diari atau dokumen-dokumen lain. Pertemuan Dato Shafee
dengan YAB PM mengenai isu dalam persoalan ini dibuat atas dasar satu dengan
satu (on a one to one basis). Oleh yang demikian apa juga transpired antara
mereka hanya mereka sahaja yang privy kepada butir perbincangan.
5.2.Sekalipun Dato Shafee menyatakan yang beliau telah
mentaklimatkan Tan Sri Ketua Setiausaha Negara mengenai apa yang berlaku ketika
beliau berjumpa dengan Perdana Menteri ketika membincangkan kes dalam persoalan
ini,percakapan Tan Sri KSN jikapun dirakamkan tidak mempunyai “evidential
value” oleh kerana kesaksian Tan Sri KSN hanya berguna untuk untuk mengesahkan
sama ada benar Dato Shafee ada mentaklimatkan beliau mengenai perkara itu atau
sebaliknya. Manakala keterangan mengenai apa yang sebenarnya yang dibincangkan
atau yang diarahkan oleh PM kepada Dato Shafee akan merupakan keterangan
“hearsay”sahaja.
5.3.Semakan serta penelitian keatas kertas-kertas
siasatan BPR HQ/BPR/KS 23/7/98 dan HQ/BPR/KS:20/6/98 mendapati tidak terdapat
sebarang catitan dalam minit arahan ataupun diari penyiasatan pegawai-pegawai
BPR yang terlibat dalam kedua-dua kes yang berkenaan, yang menjurus kearah
kes-kes berkenaan ditutup atau dihentikan atas arahan Perdana Menteri. Didapati
penyiasatan yang rapi telah dijalankan dan telah mematuhi prosidur pengedaran
yang sewajarnya.
5.4.Saya berpendapat siasatan ini jika diteruskan dan
percakapan saksi-saksi seterusnya dirakamkan juga tidak akan berkesudahan
dengan perolehan keterangan kukuh untuk apa-apa tindakan terhadap mana-mana
pihak. Kebanyakkan kesaksian yang akan diperolehi dijangka akan berbentuk
“hearsay” atau tidak mempunyai nilai kesaksian yang baik.Dengan rendah diri,
berdasarkan daripada hujah-hujah yang saya utarakan diatas, izinkan saya
mencadangkan siasatan kes ini dihentikan setakat ini sahaja melainkan jika ada
keterangan yang baru ataupun jika Dato Shafee sendiri membuat laporan Polis
serta mengemukakan keterangan lain untuk menyokong dakwaannya. Pun begitu saya
memohon nasihat YBhg. Datuk mengenai cadangan saya ini.
Salam sejahtera dan terima kasih.
Tanda tangan bertarikh:9.11.2000.
(Dato Mat Zain bin Ibrahim) SAC II,
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah,
Ibu Pejabat Polis Kontinjen,
Kuala Lumpur.”
Kenyataan tidak benar oleh Tan Sri Musa Hassan
dan Tan Sri Abdul Gani Patail berkaitan siasatan keatas Tun Mahathir.
7.11. Saya merujuk kepada muka surat 281 Buku Tersebut dan
perturunkan kenyataan akhbar Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Gani Patail seperti
berikut;
The IGP confirmed that an investigation on Dr.Mahathir
was carried out. (NST 9 April 2008)
“Our recods show we had submitted the investigation
papers to the AG Chambers on 15 February 2000. The decision made by the AG at
that time (the late Tan Sri Mohtar Abdullah) was that there was no case.”
In The Star of the same date (9 April 2008), it was
reported that Tan Sri Abdul Gani Patail confirmed,
“The Chambers received the investigation papers from
the police sometime in February 2000 and after studying it carefully, found no
evidence to suggest that Dr. Mahathir had interfered in the investigations”
7.12. Saya hanya boleh menyatakan bahawa kenyataan kedua-dua
Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Gani Patail seperti diatas adalah tidak
benar,tidak munasabah dan tidak masuk akal sama sekali. Adalah mustahil untuk
kertas siasatan tersebut diedarkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 15
February 2000 sedangkan kertas siasatan berkenaan hanya dibuka pada 13 Jun 2000
bersandarkan kepada laporan polis Tun H.S.Lee Rpt:14752/2000 yang dibuat oleh
DSAI pada tarikh tersebut. Malah kertas siasatan tersebut bersekali dengan
kertas-kertas siasatan BPR yang dirampas, hanya diedarkan kepada Jabatan Peguam
Negara pada 9 November 2000.
7.13. Mungkin tarikh 15 February 2001 adalah lebih
munasabah. Bagaimanapun jika Tan Sri Musa Hassan dan/atau Tan Sri Gani Patail
mengubahnya kepada 15 February 2001 pula, ianya akan menjadi lebih tidak
munasabah lagi. Oleh kerana pada 15 February 2001,Tan Sri Mohtar Abdullah yang
dikatakan telah meneliti dan menutup kes tersebut telah TIDAK lagi menjadi
Peguam Negara ketika itu, kerana tempat beliau telah digantikan oleh Datuk
Ainum Mohammad Said pada 1 Januari 2001 (rujuk catitan Datin sendiri dalam muka
surat 326 Buku Tersebut).
7.14. Mungkin juga atas sebab itu Tan Sri Musa Hassan
dan/atau Tan Sri Gani Patail tidak tampil membuat pembetulan, lagipun orang
yang dikaitkan itu Tan Sri Mohtar Abdullah telah pun meninggal dunia. Orang
yang telah meninggal dunia memang tidak boleh menjawab lagi. Mungkin mereka
berdua lupa banyak lagi orang-orang yang masih hidup yang mengetahui perkara
ini yang boleh mempersoalkan kenyataan mereka.
7.15. Mungkin sekiranya Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Gani
Patail tidak membuat kenyataan yang tidak munasabah itu, kes ini tidak akan
berpanjangan. Kenyataan merekalah yang telah membuka “flood-gates” untuk lebih
banyak persoalan ditimbulkan mengenai kewibawaan PDRM menjalankan sesuatu
penyiasatan. Malah kenyataan mereka berdua telah “undermine” penyiasatan Polis
dalam kes ini, sepertimana juga mereka berdua sepakat memalsukan keterangan
berkaitan laporan perubatan keatas DSAI dalam penyiasatan kes “mata-lebam”,
yang bukan sahaja mereka telah “undermine” siasatan tersebut malahan telah
menyebabkan Sistem Keadilan Jenayah kita menjadi kucar-kacir sehingga hari ini.
Cadangan kepada Dato Shafee.
7.16. Walaubagaimanapun sekiranya Dato Shafee berhasrat
untuk meneruskan dakwaannya terhadap Tun Mahathir, beliau boleh memilih untuk
membuat laporan Polis yang baru untuk menyebabkan kertas siasatan tersebut
dibuka semula. Saya percaya Dato Shafee sendiri maklum perkara ini. Lagi pun
tidak ada sekatan masa untuk sesuatu laporan kesalahan jenayah dibuat sekalipun
sesuatu salah laku jenayah berkenaan berlaku 12 tahun yang lalu. Tidak ada
pihak yang boleh menghalang Dato Shafee jika beliau ingin berbuat demikian.
7.16.1. Cuma saya ingin memberi ingatan supaya Dato Shafee
mengingati semula setiap perkataan/keterangan yang beliau telah berikan ketika
memberi keterangan di-Mahkamah pada 12.6.2000, percakapan dan sambungan
percakapannya yang telah diberikan kepada Polis (lebih-lebih lagi beliau tidak
memiliki salinan percakapan tersebut), laporan Polis baru jika dibuat dan
keterangan-keterangan yang sedia ada dalam kertas-kertas siasatan yang
berkaitan, supaya tidak berlaku pencanggahan yang material dalam keterangannya.
Oleh kerana jika terdapat percanggahan yang material akan mendedahkan Dato
Shafee sendiri kepada dakwaan memberi keterangan palsu. Saya percaya Dato
Shafee sedar perkara ini. Apapun beliau harus “tepuk dada tanya
seleranya sendiri”. Jika saya dipanggil untuk membantu penyiasatan,
saya akan kekalkan posisi saya sepertimana yang saya dedahkan dalam Surat
Terbuka ini.
Tiada campurtangan mana-mana pihak dalam penyiasatan
kes ini.
8. Untuk faedah Datin juga,saya boleh mengesahkan disini
bahawa tidak ada sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak, sama ada
daripada political masters, Pucuk Pimpinan Tertinggi PDRM atau
Jabatan Peguam Negara ketika pasukan saya menangani siasatan kes terhadap Tun
Mahathir ini. Malahan saya boleh menyatakan bahawa Pegawai-Pegawai BPR sendiri
telah memberikan kerjasama mereka yang cukup baik ketika kami menangani isu
ini. Secara kebetulan juga dalam laporan saya kepada Tan Sri Ismail pada
6.5.2010 itu, saya telah mengesahkan dalam perenggan 26 surat tersebut bahawa
tidak ada campur tangan mana-mana pihak ketika saya menangani siasatan kes ini.
INSIDEN MATA-LEBAM.
9. Memandangkan Datin juga nampaknya berminat dengan insiden
mata-lebam ini, sepertimana yang terkandung dalam muka surat 311 dan 312 Buku
Tersebut, saya berpendapat tidak salah untuk saya menjelaskan perkara ini
dengan lebih mendalam lagi, to set the records straight,
memandangkan saya terlibat secara langsung dalam penyiasatan kes ini sebagai
Ketua Pegawai Penyiasat dan juga membantu kelicinan prosiding Suruhanjaya
Di-Raja menyiasat peristiwa ini. Lagipun ianya bukan lagi menjadi rahsia,
bahkan saya pernah “mendedahkan” sebahagian peristiwa ini menerusi Pernyataan
Tuntutan saya terhadap DSAI yang difailkan dalam Mahkamah Tinggi Shah Alam pada
11.8.2008. Malah beberapa dokumen saya, khasnya laporan lengkap saya bertarikh
15.4.2009 kepada Y.A.Bhg.Tun Abdul Hamid Mohamad, Pengerusi Lembaga Penasihat
Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan salinannya kepada setiap
seorang Ahli Lembaga Penasihat tersebut dan termasuk Pengerusi serta Ahli-Ahli
Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, berada dalam public domain setelah
digunakan sebagai keterangan dalam perbicaraan DSAI dalam Sodomy II yang masih
berjalan.
Laporan DSAI pada 1.7.2008.
10. Pada 1.7.2008 DSAI telah membuat Dang Wangi
Rpt:22807/08.Dalam laporannya ini DSAI mendakwa Tan Sri Gani Patail, Tan Sri
Musa Hassan, Dr. Abdul Rahman Yusof, seorang Forensic Consultant dari Hospital
Besar Kuala Lumpur dan Dato Mat Zain Ibrahim (saya sendiri) selaku Pegawai
Penyiasat kes mata-lebam, telah memalsukan keterangan berkaitan dengan laporan
perubatan mengenai kecederaan beliau (DSAI) dalam penyiasatan kes mata-lebam
tersebut.
10.1. Siasatan telah dijalankan oleh pihak Ibu Pejabat BPR
(kemudianya SPRM) .Saya telah dipanggil memberi keterangan sekurang-kurangnya 5
kali di-Ibu Pejabat SPRM termasuk pihak Penyiasat SPRM telah membuat “rampasan”
dokumen-dokumen daripada kediaman saya pada 4.7.2008. Saya tidak membantah
rampasan ini malah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pegawai-Pegawai SPRM
berkenaan, kerana saya tahu itu adalah tanggung-jawab mereka selain daripada
mereka bertindak secara sopan dan professional, sepertimana juga saya lakukan
ketika membuat “rampasan” dua kertas siasatan BPR ketika menyiasat kes terhadap
Tun Mahathir seperti yang saya jelaskan dalam perenggan-perenggan diatas.
10.2. Apa yang boleh saya katakan disini ialah kesemua
dokumen (yang saya sebagai pembikinnya) yang dirampas dari rumah saya adalah
salinan yang sama yang terdapat dalam kertas siasatan kes mata-lebam itu
sendiri. Ianya mengandungi keterangan-keterangan dan bukti yang padat yang
bukan sahaja sekadar boleh “mengaitkan” sesaorang, malahan jika dibaca bersama
dengan laporan Suruhanjaya DiRaja menyiasat kes mata-lebam itu, boleh
“mensabitkan” kesalahan mereka keterangan palsu terhadap mereka-mereka yang
terlibat tanpa sebarang keraguan.
10.3. Namun begitu pada 11.3.2009 YB Dato Seri Mohamed Nazri
Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mengumumkan di Parlimen
bahawa siasatan terhadap pengaduan DSAI pada 1.7.2008 tersebut telah selesai 2
bulan daripada tarikh laporan tersebut dibuat. Cuma pengumumannya dibuat pada
tarikh berkenaan memandangkan kes tersebut sangat sensitif. Beliau juga turut
mengumumkan bahawa satu Panel Bebas tiga orang terdiri daripada 2 orang mantan
Hakim Mahkamah Persekutuan dan seorang mantan Hakim Mahkamah Rayuan telah
dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya, bagi meneliti kertas siasatan SPRM berkaitan
kes ini. Beliau seterusnya mengumumkan bahawa Panel Bebas tersebut secara
sebulat suara (3-0) mendapati Tan Sri Musa Hassan bersih daripada sebarang
salah laku jenayah dalam siasatan tersebut. Manakala Panel Bebas sama secara
majority (2-1) mendapati Tan Sri Gani Patail tidak terlibat dengan sebarang
salah laku jenayah dalam siasatan sama. Ini bermakna seorang daripada Ahli
Panel Bebas tersebut mendapati ada keterangan untuk mengaitkan Tan Sri Gani
Patail dengan perbuatan salah laku jenayah. Bagaimanapun kedua-dua Tan Sri Gani
dan Tan Sri Musa diistiharkan bersih (“cleared”) dari sebarang salah laku
jenayah, manakala tidak ada sebutan mengenai nasib Dr. Rahman dan saya yang
turut didakwa oleh DSAI dalam laporannya tersebut. Pengumuman ini seolah mengesahkan
bahawa laporan DSAI itu ada kebenarannya kerana Dr. Rahman dan saya tidak
“dibersihkan” sekali dengan mereka berdua.
10.4. Saya berhak untuk merasa terkejut dan kecewa dengan
keputusan ini lebih-lebih lagi selaku Ketua Pegawai Penyiasat kes mata-lebam
tersebut saya tahu apa yang berlaku malah telah menyerahkan segala
dokumen-dokumen bukti kepada Penyiasat SPRM.
10.5. Oleh hal demikian saya telah menulis surat bantahan
rujukan:MZ/SULIT/5776/7 bertarikh 15.4.2009 kepada Pengerusi, Lembaga Penasihat
SPRM iaitu Y.A.Bhg. Tun Abdul Hamid Mohamad, dengan salinannya kepada setiap
seorang Ahli Lembaga Penasihat dan juga Pengerusi serta Ahli Ahli Jawatankuasa
yang lain seperti Jawatan Kuasa Khas Mengenai Rasuah. Selain daripada
mengemukakan hujah dan dokumen bukti, saya turut menjelaskan secara terperinci
caramana pemalsuan keterangan tersebut dilakukan dan siapa yang melakukannya
dan Pegawai mana yang bersubahat memberi kemudahan melakukan jenayah tersebut,
sepertimana yang telah saya rakamkan dalam diari penyiasatan saya ketika
menjalankan siasatan kes mata-lebam tersebut.
10.6. Selain daripada itu saya telah mempersoalkan kesahihan
perlantikan Ahli-Ahli Panel Bebas tersebut sebagai Timbalan Pendakwa Raya oleh
Peguam Cara Negara seperti yang diperuntukkan dalam Kanun Prosidur Jenayah
(CPC). Saya telah menonjolkan bahawa Peguam Cara Negara TIDAK mempunyai hak
atau kuasa untuk melantik Timbalan Pendakwa Raya (TPR) mengikut perbekalan
dalam CPC. Peruntukkan Seksyen 376(4) CPC adalah sangat jelas bahawa hak atau kuasa
untuk melantik TPR terletak kepada Pendakwa Raya(dalam hal ini Tan Sri Gani
Patail) dan kuasa tersebut hendaklah dijalankan oleh Pendakwa Raya sendiri. Oleh
hal yang demikian perlantikan Panel Bebas seperti yang diumumkan oleh Menteri
di JPM itu adalah tidak sah dan menjadikan keputusan yang mereka buat sebagai
sia-sia. Ini bermakna pengistiharan bahawa kedua-dua Tan Sri Gani dan Tan Sri
Musa sebagai bebas daripada salah laku jenayah tidak boleh diterima pakai
mengikut kefahaman saya.
10.7. Untuk pengetahuan Datin, Peguam Dato Param Cumaraswamy
pun ada menulis surat bantahan kepada SPRM mempersoalkan isu perlantikkan Panel
Bebas ini.
10.8. Apa pun pada 23 July 2009 saya telah menerima surat
balasan daripada Sekretariat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang
ditanda tangan sendiri oleh Y.A.Bhg. Tun Abdul Hamid Haji Mohamad. Saya merasa
terkejut dimaklumkan secara bertulis bahawa bidang kuasa LPPR seperti yang
diperuntukkan oleh Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694) TIDAK termasuk
menyemak semula (review) sebarang keputusan yang telah dibuat oleh SPRM
dalam sesuatu kes. Ini bermakna LPPR tidak boleh berbuat apa-apa
sekalipun SPRM telah membuat sesuatu keputusan yang salah atau tidak mengikut
undang-undang. Ini turut bermakna sekalipun LPPR sedar bahawa perlantikkan
Panel Bebas tersebut adalah tidak sah dari sisi undang-undang, LPPR terpaksa
bersetuju menerimanya. Soal sama ada LPPR berpuas hati atau tidak dengan
penyiasatan dan keputusan SPRM tidak timbul. Selepas daripada penerimaan surat
LPPR sedemikian itu saya tidak menulis apa-apa suratan kepada LPPR lagi.
10.8.1. Saya berasa begitu ralat kerana diakhir laporan saya
kepada LPPR itu saya merayu kepada Y.A.Bhg.Tun seperti diperturunkan;..
“Para 48.
Saya percaya Y.A.Bhg.Tun,serta Yang Berbahgia dan Yang
Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli pelbagai Panel SPRM tidak akan merelakan
intergriti Institusi penting Negara seperti Badan Kehakiman,Jabatan Peguam
Negara, SPRM dan PDRM diletakkan dalam risiko kemusnahan semata-mata untuk
menyelamatkan sesaorang dikenakan hukuman jenayah. Saya merayu dan sesungguhnya
yakin Y.A.Bhg. Tun akan memberi peluang pendengaran yang adil dan saksama
kepada saya dan juga kepada pihak atau pihak-pihak yang dinamakan dalam perkara
ini.Saya yakin Y.A.Bhg. Tun akan mempertimbangkannya bukan demi saya seorang,
tetapi demi Keluhuran dan Kedaulatan Undang-Undang Negara dan demi Keadilan
Awam itu sendiri. Salam sejahtera.
Yang benar,
t.t.bertarikh:15 April 2009.
(Mat Zain bin Ibrahim)”
10.9. Namun begitu saya tidak putus asa dalam mengenengahkan
kebenaran ini. Dalam surat saya kepada YDH Tan Sri Ismail Omar, dalam perenggan
11, saya telah membuat “pengistiharan” yang berbunyi antaranya;
“Tanpa terpengaruh dengan pendapat pihak-pihak lain
mengenai laporan DSAI tersebut sama ada telah dibuat secara rasmi atau
sebaliknya, saya,selaku Pegawai Penyiasat kes mata-lebam tersebut yang
mempunyai pengetahuan mendalam kes ini mendedahkan pendapat saya mengenainya
seperti berikut dibawah;
a)Bahawa dakwaan DSAI menyatakan berlakunya perbuatan
memalsukan keterangan berkaitan laporan kecederaan keatas dirinya dalam
penyiasatan kes mata-lebam adalah benar dan betul berlaku.
b)Bahawa terdapat sejumlah 3 (tiga) laporan perubatan
yang telah dipalsukan iaitu;…….”
10.9.1. Saya turut mengistiharkan bahawa saya serta
Pegawai-Pegawai dalam Pasukan Penyiasat Khas kes tersebut dan juga pucuk
pimpinan PDRM ketika itu tidak pernah mensubahati Tan Sri Gani Patail dalam
memalsukan keterangan terhadap DSAI. Malahan saya menjelaskan bahawa saya telah
mengambil segala langkah yang perlu (yang dirakamkan dalam diari penyiasatan
saya) untuk menasihati dan menghalang beliau daripada melakukan sesuatu yang
menyalahi undang-undang dalam penyiasatan kes mata lebam tersebut.Saya telah menasihatkan
beliau ketika itu, posisi Dr. Rahman yang sedang dalam siasatan Polis
berkaitan satu kes ugutan jenayah keatas seorang Dr. Abdul Halim Mansar yang
merupakan Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur yang mula-mula menyediakan
laporan kecederaan keatas DSAI atas permintaan rasmi saya, dan penggunaan Dr.
Rahman menyediakan laporan perubatan bertentangan dengan apa yang telah
disediakan oleh Dr. Halim, akan menyebabkan “complications” dikemudian hari.
Rupa-rupanya Tan Sri Gani Patail telah mengambil kesempatan posisi Dr. Rahman
sedemikian itu untuk mengarahkannya menyediakan sejumlah tiga (3) laporan palsu
berlainan berkaitan kecederaan DSAI dalam insiden mata-lebam tersebut.
Sekiranya terdapat mana-mana Pegawai Polis yang telah bersubahat atau memberi kemudahan
kepada beliau melakukan pemalsuan tersebut, maka Pegawai Polis berkenaan telah
melakukannya atas sifat peribadi untuk kepentingan dan faedah persendirian
Pegawai berkenaan yang tidak ada kena mengena dengan pendirian PDRM menangani
siasatan kes mata-lebam ini.
Penggunaan keterangan palsu dalam perbicaraan Sodomy
II.
11. Dalam surat saya kepada Tan Sri Ismail itu juga saya
telah memberi “isyarat awal” berkaitan pemerhatian saya mengenai penggunaan
keterangan palsu dalam perbicaraan Sodomy II yang sedang berjalan. Keterangan
palsu/tidak benar itu adalah dalam bentuk dua afidavit yang diikrarkan pada
30.6.2009 oleh dua Pegawai Jabatan Peguam Negara bagi pihak Pendakwa Raya.
Perkara ini bukan rahsia kerana DSAI sendiri telah membuat laporan Polis Travers
Rpt:5160/09 pada 21.7.2009 dan membuat kenyataan akhbar mengenai laporan ini
terhadap, Dato Abdul Razak Musa Pengarah Pendakwaan dan Perundangan SPRM dan
Timbalan Pendakwa Raya Hanafiah Hj. Zakaria dari Jabatan Peguam Negara, seorang
Ahli dalam Pasukan Pendakwaan kes Sodomy II. Berpeluang meneliti kandungan
dokumen-dokumen tersebut yang berada dalam public domain itu, serta mengetahui
perkara sabjek yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya DiRaja berkaitan, saya
berpendapat yang dakwaan DSAI ada kebenarannya walaupun saya tidak mempunyai
ekses lagi untuk mengetahui hasil siasatan berkaitan laporan tersebut. Saya
memberikan isyarat awal ini adalah untuk PDRM mengambil langkah berjaga-jaga
supaya tidak dijadikan “scape-goat” sekiranya sesuatu yang buruk berlaku dalam
pendakwaan Sodomy II seperti mana yang menimpa PDRM dan saya dalam penyiasatan
kes mata-lebam.
12. Hari ini pula, ketika saya sedang menulis Surat Terbuka
ini kepada Datin, tersiar pula secara meluas dalam akhbar-akhbar dan blogs
mengenai seorang Rahimi Osman yang disenaraikan sebagai seorang saksi
pembelaan, menghebahkan pula yang beliau dipaksa membuat Statutory Declaration
(SD) untuk mengaitkan Dato Seri Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes
Sodomy II, yang melibatkan sahabat beliau Mohd. Saiful Bukhari Azlan dua tahun
lalu. Dilaporkan pula kononya Rahimi Osman telah membuat SD yang baru pula. Ini
mengingatkan kita kepada apa yang dilakukan oleh Private Investigator Bala
dalam kes bunuh Altantuya.
12.1. Apa sudah jadi dengan Sistem Keadilan Jenayah
kita? Seolah BAB XI dalam Kanun Keseksaan berkaitan Keterangan Palsu
dan Kesalahan-Kesalahan Terhadap Keadilan Awam tidak ujud lagi. Siapa yang
sepatutnya dipersalahkan? Siapa yang menyebabkan Sistem Keadilan Jenayah kita
menjadi kucar kacir, sehinggakan sesiapa juga boleh mempermain-mainkannya tanpa
takut kepada sebarang tindakan dan hukuman undang-undang. Saya tidak
teragak-agak untuk menyatakan bahawa keadaan ini berpunca daripada “precedent”
yang dibuat oleh Tan Sri Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan sendiri. Jika
mereka boleh merekacipta keterangan palsu dan menggunakan dua daripada tiga
laporan yang dipalsukan itu pula dalam prosiding kehakiman Suruhanjaya DiRaja,
dan kemudian mendabik dada mengatakan mereka bersih daripada sebarang salah
laku jenayah; jika Tan Sri Musa boleh memberi keterangan palsu dalam
perbicaraan dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan oleh
seorang Penggubal Undang-Undang YB R. Sivarasa dalam bulan Mac tahun ini, dan
tiada tindakan dikenakan; jika Tan Sri Musa Hassan boleh mengemukakan
Pernyataan Tuntutan yang tidak benar dalam samannya terhadap DSAI serta
menuntut berjuta Ringgit sebagai ganti rugi pula dan menayangkan pula saman
tersebut kepada dunia, maka P.I. Bala dan Rahimi Osman juga tidak bimbang akan
tindakan undang-undang terhadap mereka. Cuma yang tidak bernasib baik, mungkin
Brig.Gen (B) Datuk Mohamad Yasin Yahya bekas Panglima Brigade Sabah (saya juga
tidak pernah mengenali beliau) yang telah berpuloh tahun menabur keringatnya
mempertahankan kedaulatan Negara, akhirnya diaibkan dengan dituduh memberi
keterangan palsu (walaupun kemudiannya didapati tidak bersalah) ketika memberi
keterangan di-Mahkamah melibatkan satu kes Dato Ramli Yusuff.
13. Memandangkan keadaan terbaru ini,mungkin Dato Shafee
ingin menimbangkan semula cadangan saya diperenggan 7.16 dan 7.16.1 dalam Surat
Terbuka ini.
14. Berbalik kepada laporan saya kepada YDH IGP Tan Sri
Ismail Omar pula, kini terserah kepada budi bicara beliau untuk mengambil
posisi beliau dalam hal ini, dan lain lain isu yang saya dedahkan dalam laporan
saya kepada beliau bagi memelihara kewibawaan dan keberkecualian serta imej
PDRM yang tercemar teruk sejak 2006. Saya yakin YDH Tan Sri akan melakukan
sesuatu. Untuk faedah Datin dan juga pembaca lain yang mungkin berminat membaca
Surat Terbuka ini, saya telah akhiri laporan saya kepada Tan Sri Ismail Omar
tersebut itu seperti diperturunkan dibawah;
“Para 32.
Saya berharap laporan yang saya kemukakan ini tidak
menambahkan bebanan masaalah yang berada dalam tangan Tan Sri sekarang ini.Saya
sedar siapa saya dan kedudukkan saya dalam masyarakat dan saya turut sedar
dengan siapa saya berhadapan dan apa yang boleh berlaku keatas diri saya dan
keluarga dengan pendedahan yang saya tonjolkan dalam laporan ini. Namun begitu
saya turut yakin sebilangan besar rakyat dan pemimpin Kerajaan khasnya dalam
PDRM yang cintakan keluhuran undang-undang dan keadilan. Pada ketika saya
berpangkat ACP/SAC II, saya telah dilonggokkan dengan keterangan dan bukti
daripada Ketua Polis Negara,Timbalan Ketua Polis Negara,Pengarah-Pengarah dan
Pemimpin Tertinggi Polis serta Pegawai sehingga anggota berpangkat Konstabel
mengenai peristiwa insiden mata-lebam. Dengan bahan bahan tersebut saya diminta
untuk membuat keputusan sendiri dan seorang diri sama ada memilih menyelamatkan
maruah PDRM ataupun menyelamat TSRN. Dengan sedih saya memilih untuk
mencadangkan TSRN, seorang yang saya sanjung tinggi sebagai seorang ketua,
sahabat dan juga kawan keluarga dituduh dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Saya Cuma berharap saya telah melakukan sesuatu yang saksama kepada beliau.
Kini saya memohon maaf kerana melonggokkan pula bahan serupa dan meletakkan Tan
Sri didalam situasi yang sama, yang saya berada 12 tahun lalu. Saya turut
berharap situasi yang kita alami adalah yang terakhir buat PDRM.
Para 33.
Akhirkata saya mendoakan Tan Sri sentiasa berada dalam
kesejahteraan dan kesihatan untuk seterusnya memimpin Pasukan Polis Di Raja
Malaysia kearah kecermelangan dan kegemilangan serta dihurmati sepertimana yang
pernah dinikmati dalam era sebelum 2006.
Wassalam.
Bth:6 Mei 2010.
PENUTUP
15. Saya sedar bahawa Surat Terbuka saya ini akan mengundang
respon yang positif dan juga negative. Sesiapa pun mempunyai hak untuk
meluahkan pendapatnya dan saya bersedia menerimanya dengan fikiran terbuka. Apa
pun saya mengambil tanggung jawab sepenuhnya mengenai penulisan saya ini. Saya
sedar akan risiko dan konsekuennya.
16. Saya akan mengirimkan salinan pertama menerusi email
kepada Datin, manakala salinan yang mengandungi tandatangan saya, akan dikirim
pos.
17. Sekali lagi saya menyusun sepuloh jari memohon jutaan
maaf jika terdapat kata-kata saya yang menyinggung perasaan Datin. Salam hurmat
saya buat Dato Shafee Yahaya dan keluarga.
Terima Kasih ikhlas saya kepada Y.Bhg. Datin kerana memberi
semangat kepada saya dengan menonjolkan Surah Al Baqarah 2:24; “And
mix not truth with falsehood, nor conceal the truth while you know (the truth). Sempena
dengan hari terakhir Shawal yang mulia ini saya sekeluarga mengucapkan Selamat
Eidul Fitri, maaf zahir dan batin untuk YBhg. Datin sekeluarga.
Wassalam.
Yang Benar,
t.t
(MAT ZAIN BIN IBRAHIM)
8 hb Oktober 2010.